Aku berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang direjam. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Yang Menguasai hari pembalasan. Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat.
Nota: Semakan Sheikh Redwan berdasarkan semakan beliau untuk Himpunan Risalah bab Al-Mathurat dalam nota kaki no. 75 menyatakan bahawa: Firman Allah Taala yang bermaksud: "Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan syaitan yang kena rejam." [Al-Nahl: 98] Ibnu al-Sunni meriwayatkan hadis daripada Anas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang berkata ketika pagi, aku berlindung pada Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang kena rejam, dia akan dijauhkan daripada syaitan hingga ke petang."
Nota: Semakan Sheikh Redwan berdasarkan semakan beliau untuk Himpunan Risalah bab Al-Mathurat dalam nota kaki no. 76 menyatakan bahawa: Hadis riwayat Ubay bin Kaab r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Demi tuhan yang memegang jiwaku, tidak diturunkan dalam Taurat atau Injil atau Zabur atau al-Furqan sepertinya iaitu al-Fatihah. Ia adalah tujuh mathani dan al-Quran al-Karim yang diberikan kepadaku." Riwayat al-Tirmizi, katanya: Hadis ini hasan sahih. Abu Daud dan yang lain ada meriwayatkan hadis ini dengan sanad lain, daripada Rasulullah s.a.w., sabda baginda: "Setiap perkara yang dilakukan tetapi tidak dimulakan dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang adalah terputus." Maksudnya kurang diberkati.